.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U .

Apr 2, 2018

Seminggu Di Syurga

Judul: Seminggu Di Syurga
ISBN: 978-983-097-709-6
Kategori: Motivasi Travelog
Penulis: Ablah Ibtisam Yassin Ali Taha
Kod: GB0464
Tebal: 184 ms
Harga: RM22.00/ RM24.00


SINOPSIS
Travelog seorang guru dari Sudan yang tidak kenal erti penat untuk memastikan anak didik dan anak angkatnya yang berasal dari Malaysia, berjaya dalam pembelajaran dan pelajaran.

Menjadi orang asing di sebuah negara serba kekurangan, Amirul, remaja yang baru masuk usia belasan tahun tabah menghadapi cabaran. Ditinggalkan oleh keluarga di benua Afrika demi menimba ilmu. Namun, kehadiran Ablah Ibtisam sebagai penjaga  yang juga merupakan ibu angkat dan guru bersama keluarganya, banyak membantu Amirul hidup di Sudan.

Biar sesukar mana pun cabaran yang datang, Ablah Ibtisam tidak pernah mengalah. Demi anak Amirul yang sudah dianggap seperti anak sendiri, Ablah Ibtisam terus berusaha mengatasi rintangan berjaya. Yang sukar sentiasa ada penyelesaian apabila Allah dijadikan tempat sandaran utama.

Segala penat lelah Ablah Ibtisam berbalas apabila Amirul akhirnya berjaya cemerlang. Kemuncak kegembiraan Ablah Ibtisam adalah apabila kedua-dua ibu bapa Amirul  iaitu Prof Muhd Kamil dan Raudzah Roslan membawanya ke Malaysia untuk menghadiri pelancaran buku tulisan mereka.

Pertama kali menjejak kaki ke Malaysia, umpama syurga buat Ablah Ibtisam! Ia umpama rezeki yang tidak disangka-sangka datang bergolek, anugerah daripada Allah kepada insan yang ikhlas memberi khidmat.

Bagi pembaca yang pernah membaca best seller Amirul Budak Sudan tulisan Roza Roslan, maka Seminggu Di Syurga juga wajar dibaca, kerana ia pelengkap kepada kisah Amirul Budak Sudan.
‘The untold story’ yang tidak dikisahkan di dalam buku Amirul Budak Sudan, boleh dibaca dari SEMINGGU DI SYURGA.

TENTANG PENULIS:
Lahir pada 1960. Merupakan warganegara Sudan. 
Lulusan Universiti Khartoum dalam jurusan Geografi dan Sains Politik. Melanjutkan pengajian peringkat sarjana (MA) di Institut Pengajian Afrika.
Pernah berhijrah dan tinggal di Madinah, Arab Saudi. Di Madinah, penulis menubuhkan sekolah swasta aliran Sudan bagi mendidik anak-anak sendiri dan akhirnya menjadi sekolah bagi anak-anak warga asing yang menghadapi kesukaran untuk memasuki sekolah di Arab Saudi.
Mengenali pasangan penulis prolifik terkenal tanah air Prof Muhd Kamil Ibrahim dan Roza Roslan semasa di Madinah apabila dua orang anak pasangan penulis ini menghantar anak mereka untuk belajar di sekolah Al-Khair Wa Al-Barakah Al-Sudaniyyah. Hubungan mereka akrab hingga kini.
Seminggu di Syurga merupakan percubaan pertama Ablah Ibtisam menulis buku.



PRAKATA BUKU
Aku ditakdirkan berkenalan dengan pasangan suami isteri, Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim (Prof) dan Raudzah Roslan (Raudhah) ketika mereka mula bermukim di Madinah pada penghujung 2011. Kedua anak mereka – Ahmad Amirul Imran (Amirul) dan Farah Sofea (Farah) – menjadi penuntut di sekolahku. 
Ia menjadi kisah klasik – tanpa aku duga – apabila Amirul mengikutku pulang ke Sudan setelah aku menutup sekolah di Madinah ketika usianya baru 13 tahun. Raudhah telah menukilkan kisah ini melalui buku Amirul Budak Sudan berdasarkan pandangan mereka sebagai ibu bapa dan laluan kehidupan yang diceritakan oleh Amirul.
Aku diberi penghormatan untuk berada di Malaysia selama seminggu sempena pelancaran buku tersebut. Kehadiran aku di Malaysia dipenuhi dengan pelbagai kejutan yang melangkaui apa yang boleh aku fikirkan. Aku sangat tersentuh bagaimana Prof dan Raudhah menyampaikan rasa hormat dan menunjukkan kemurahan hati serta persaudaraan yang sebenar kepada saudara seagama. Aku benar-benar terpengaruh dengan cara mereka mencerminkan penghargaan terhadap apa yang telah aku lakukan untuk anak mereka Amirul.
Aku memutuskan untuk menulis sebuah buku bagi mendokumentasikan pengalaman ini dan memilih judul Seminggu Di Syurga yang menggambarkan perasaan dalaman yang kuat terhadap pengalaman luar biasa ini. Seminggu Di Syurga adalah kisah kehidupan berdasarkan kepada suatu pengalaman diadun dengan apa yang aku fikir dan lihat. 
Pada pendapatku, pengalaman bersama Prof, isteri, keluarga dan rakan-rakan yang aku temui di Malaysia layak ditulis dan disimpan sebagai konteks bernilai dalam hubungan kehidupan sesama manusia di dunia. Ia mewakili model menarik untuk moral dan interaksi Islam yang sebenar. Aku tinggal seminggu di Malaysia dengan orang yang aku fikir, adalah ahli syurga dan pada masa yang sama, aku fikir mereka tinggal di syurga Allah di dunia.
Seminggu Di Syurga mengandungi 40 bab. Kandungannya disusun mengikut premis dan urutan tertentu. Pertama, aku bercerita tentang negara Sudan secara sepintas lalu dengan menekankan aspek lokasi, bahasa, sosiobudaya, tarian dan soal berpakaian. Ia juga memberi gambaran tentang tradisi di bulan Ramadhan, makanan, kematian, perkahwinan dan perayaan Maulid Nabi .
Kedua, aku mencatat tentang permulaan perhubungan aku dengan Malaysia. Ia bermula dengan kisah bagaimana Amirul dan Farah menyertai sekolahku di Madinah sehingga Amirul lulus Sijil Aras Asas Sudan kemudian mengikut aku pulang ke Khartoum. Aku bercerita tentang kehidupan Amirul di Sudan 2013-2016 sehingga dia lulus Sijil Sekolah Menengah Sudan. Ia kisah ketabahan anak remaja mengatasi masalah dan ujian sehingga berjaya diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat Sudan. Aku memanggil Amirul sebagai duta kanak-kanak Malaysia di Sudan.
Ketiga dan merupakan kemuncak kisah kehidupan ini apabila aku menerima pelawaan Prof dan Raudhah untuk berada seminggu di Malaysia. Mereka mahu aku menghadiri majlis pelancaran buku Amirul Budak Sudan. Hakikatnya, mereka mahu menyatakan rasa penghargaan dan terima kasih kerana menjaga dan mendidik Amirul sepanjang beliau berada di Sudan. Pelbagai kejutan telah aku terima daripada Prof dan Raudhah, saudara dan sahabat mereka sehinggalah seluruh masyarakat Malaysia. Ia bermula pada hari aku mengambil pesawat sehinggalah berlepas pulang ke Khartoum.
Akhirnya, buku ini menjadi lebih mustahak apabila aku menelah dan mentafsir beberapa ilmu bermanfaat yang telah aku pelajari daripada pengalaman ini pada bab-bab penghujung. Aku melihat sebahagian daripada gaya hidup Islam yang baik berdasarkan pengamatan seminggu bersama sebuah keluarga yang mahukan Islam sebagai sistem kehidupan. Malah ia terlangsung di kalangan mereka yang lain, mereka yang aku temui di sini.
Aku akhiri catatan awal ini dengan memetik ayat 97, surah an-Nahl yang bermaksud:
Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau wanita, sedangkan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan.


Bacalah buku ini dengan berpegang kepada apa yang telah Allah nyatakan melalui terjemahan ayat di atas. Aku berdoa kalian semua dibalas dengan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat. Insya-Allah, kita bertemu di akhirat dan berakhir di jannah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...