.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U .

May 27, 2013

Keajaiban Firasat

63 Kisah Pengubat Jiwa


Tips Khusyuk dalam Solat.

Hatim al-Asham ditanya, "Bagaimanakah keadaan solatmu?"




     Dia menjawab:

     "Jika waktu solat telah tiba, aku berwuduk dengan sempurna. Selepas itu, aku berjalan ke tempat solat yang kuinginkan. Aku duduk di sana dan berusaha bersungguh-sungguh menumpukan seluruh anggota tubuhku untuk solat. Kemudian, aku berdiri untuk solat. Aku letakkan Kaabah tepat di hadapanku, titian menuju neraka di bawah kedua telapak kakiku, syurga di kananku, neraka di kiriku, Malaikat pencabut nyawa di belakangku, dan aku menganggap itulah solatku yang terakhir. Aku berdiri menghadap-Nya dengan perasaan harap dan takut. Kemudian, aku mengucapkan takbir dengan penuh kesedaran, aku membaca ayat-ayat al-Quran dengan tartil. Ketika rukuk, aku merendahkan diriku di hadapan Allah. Ketika sujud, aku melakukan dengan khusyuk. Ketika duduk tahiyyat awal, aku letakkan telapak kaki kiriku dengan bertumpu kepada ibu jariku. Aku kerjakan semua itu dengan ikhlas. Kemudian, aku tidak tahu, adakah solatku diterima oleh Allah SWT atau tidak."

*Abu Abdur Rahman Hatim bin Alwan, terkenal dengan gelaran 'al-Asham'. Termasuk tokoh ulama besar Khurasan. Dipanggil 'al-Asham' (orang yang tuli) bukan sebab benar-benar tuli, tetapi dia pernah berpura-pura tuli untuk menjaga kehormatan orang lain. Meninggal dunia pada 237H (751M)



     Kepada anda yang sering kali berasa runsing, atau sering berduka, atau yang sedang mencari ketenangan jiwa boleh dapatkan buku Keajaiban Firasat: 63 Kisah Pengubat Jiwa, karya Ustaz Muhadir Haji Joll ini di pasaran sekarang juga!

May 21, 2013

Buah Tangan Dari Madinah


Sumber artikel: Kosmo


SEWAKTU berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 pada 26 April hingga 5 Mei lalu, buku Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar dan Aroma Antara Benua terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengunjung.
Karya yang dihasilkan oleh Prof. Muhd. Kamil Ibrahim dan isterinya, Raudzah Roslan itu sebenarnya baru sahaja diterbitkan dan dijual buat kali pertama dalam acara tahunan yang berprestij itu.
Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar merupakan nukilan Muhd. Kamil mengenai pengalaman beliau sepanjang berada di Madinah sejak September 2011. Buku itu menceritakan tentang kebesaran Allah yang tidak pernah jemu mendengar rintihan hamba-Nya di bumi penuh keberkatan itu.
Air tangan
Buku Aroma Antara Benua pula memaparkan koleksi resipi air tangan Raudzah. Ia dilengkapi catatan peristiwa yang dilalui sewaktu berkelana di beberapa negara semata-mata mengikut suami tercinta.
“Kami berharap semoga penulisan buku ini menjadi ilmu yang bermanfaat kepada khalayak pembaca,” kata Muhd. Kamil yang berhijrah ke Madinah pada selepas ditawarkan menjadi Profesor Perakaunan di Universiti Taibah.
Bekas Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Johor itu memberitahu, menulis sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya dan isteri sepanjang berada di Madinah.
“Kami menulis sepanjang masa dan ia merupakan rutin harian. Jika tidak menulis buku, kami akan menulis artikel di blog.
“Sehubungan itu, kami mempunyai dua hingga tiga manuskrip serentak. Namun, apabila kami membuat keputusan untuk menghantar kedua-dua manuskrip ini, ia mengambil masa sekitar dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya,” ujar beliau melalui e-mel.
Menyentuh tentang cabaran yang dihadapi dalam menyiapkan kedua-dua karya tersebut, Roza memberitahu, buku Aroma Antara Benua lebih sukar berbanding Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar.
“Buku yang berkonsep resipi ini memerlukan foto makanan yang berkualiti. Kami tiada studio. Jadi, setiap hari saya menunggu cahaya matahari memasuki tingkap rumah agar mendapat penataan cahaya semula jadi.
“Saya pula tidak dilatih untuk mengambil gambar. Tetapi, Alhamdulillah itulah hasilnya seperti yang boleh dilihat dalam buku tersebut,” ujar Roza.
Bagi Muhd. Kamil pula, beliau melihat buku Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar sebagai sebahagian laluan kehidupan peribadi.
“Foto-foto yang ada pula, hanyalah menggunakan kamera telefon bimbit. Itulah yang mampu saya lakukan,” katanya.
Berkongsi tip
Sehingga kini, Muhd. Kamil telah mempunyai koleksi buku penulisan tersendiri. Antaranya ialah Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (2007), PhD Kecil Tapi Signifikan, Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok (2008), 50 Tip Motivasi Haji (2011) dan Bersyukur Saat Diuji (2012).
Sementara Roza pula tampil dengan buku-buku bertajuk Travelog Cinta Abadi, Travelog Impian Abadi dan Travelog Kehidupan Abadi.
Dalam pada itu, Muhd. Kamil turut menitipkan beberapa nasihat buat mereka yang mahu terlibat dalam dunia penulisan.
“Pertama, menulislah kerana Allah. Kedua, mohonlah kepada-Nya supaya diberi ilham dalam menghasilkan penulisan yang baik.
“Sepanjang kita menulis jangan lupa bangun solat malam, bertahajud dan bermunajat agar apa yang ditulis adalah berdasarkan ilham yang benar. Selain itu, sentiasa berdoa supaya khalayak dapat memahami apa yang kita persembahkan. Ilmu itu anugerah Allah. Allah memberi ilmu kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Kita hanyalah bala tenteranya,” ungkap beliau penuh berhemah.
Mengulas mengenai perkembangan buku-buku dan novel berkonsep Islamik di Malaysia, Muhd. Kamil mempunyai pandangan tersendiri.
“Jika ia dilakukan semata-mata kerana Allah, insya-Allah, ia akan menyerap ke hati sekali gus menjadi alat dakwah yang berkesan. Jika tidak, ia hanya satu jenama seumpama produk-produk lain di pasaran.
“Penulis yang tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, pembaca akan membaca sebagai satu tabiat mengisi masa lapang dan lebih parah ia hanya tebuk-tebuk di sana sini. Malah, ada jalan ceritanya tidak memenuhi syariah. Ia hanya label di kulit buku sebagai alat mencapai keuntungan.
“Bagaimanapun, kami berdoa agar ia benar-benar membawa mereka yang terlibat sama ada penulis mahupun pembaca hampir kepada-Nya,” tutur beliau.




May 10, 2013

Teristimewa Untukmu

Judul: TERISTIMEWA UNTUKMU
Penulis: Hasmah Hitam
Harga: RM15/ RM17
ISBN: 978-983-097-450-7





SINOPSIS:

Anak-anak istimewa, mereka tidak semestinya cacat anggota. Ada yang nampak normal pada pandangan orang biasa, namun hakikatnya mereka tidak begitu. 

Hanya mereka yang benar-benar memahami mampu memberi kasih sayang kepada anak-anak ini. 'Teristimewa Untukmu' menelusuri suka duka seorang Guru Pendidikan Khas dalam merealisasikan pendidikan untuk anak-anak istimewa. 

Bukan sedikit cabaran ditempuhi, namun sebuah kesabaran akhirnya menjadi hadiah kehidupan yang paling indah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...