.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U .

Oct 13, 2010

"Terima kasih adik-adikku!"


Judul novel: TERIMA KASIH ADIK-ADIKKU!
Kategori: NOVEL REMAJA
Penulis: DISSA AZMIN
Kod: GB0099
ISBN: 978-983-097-273-2
HARGA: RM 14.00
M/S: 216

SINOPSIS:
Sebagai anak sulung yang diletakkan harapan oleh mak dan ayahnya, Nubhan tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai orang dewasa. Dalam masa yang sama, isu surat cinta Siti Kelly mengganggu hubungannya dengan rakan-rakan sekolah.

Pencapaian yang merudum dalam akademik menyekat peluangnya untuk bertarung di gelanggang go-kart. Sehinggalah satu ketika, keadaan memaksa Nubhan untuk mengambil alih teraju di rumah. Kerenah adik-adiknya pula cukup memeningkan kepala Nubhan.

Mampukah Nubhan berhadapan dengan situasi ini? Adakah dia dapat bertahan dengan ujian yang seakan mustahil untuk diatasi ini? Segalanya terjawab di dalam novel tarbiah remaja Terima Kasih Adik-adikku! karya sulung Dissa Azmin ini.

Terima Kasih Adik-adikku! ini merupakan karya sulung Dissa Azmin setelah sekian lama berkecimpung di dalam dunia penulisan. Beliau yang berasal dari negeri Kelantan ini bukanlah nama baru di arena penulisan tanah air.

Di awal pembabitan, beliau tidak menoleh ke belakang lagi di dalam hobi dan bakatnya ini. Beliau berjaya menyelami dunia remaja untuk menghasilkan novel tarbiah yang menghiburkan dan sarat dengan mesej kasih sayang dan nilai-nilai kekeluargaan yang perlu dijadikan iktibar oleh para pembaca semua.

Oct 12, 2010

Wahai Wanita, Bimbinglah Dirimu...


Judul: WAHAI WANITA BIMBINGLAH DIRIMU
Penulis: Ustaz Pauzi Hj. Awang
Kategori: Tarbiah Rohani
Tebal: 115 hal.
ISBN: 978-983-097-256-5
Harga: RM15/RM17 (S/S)

Wahai Wanita Bimbinglah Dirimu ialah sebuah buku fardu ain. Mengandungi perkara-perkara asas fikah yang wajib diketahui dan dipelajari oleh setiap kaum wanita. Malah wajib dipelajari juga oleh kaum lelaki agar mudah mengajarkannya kepada kaum wanita di bawah jagaannya seperti isteri dan anak-anak perempuan.


Penulis asal ialah Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abdullah bin Aidrus bin al-Husain, Ibn al-Syaikh Abu Bakar bin Salim al-Alawiyy al-Husainiyy al-Hadramiyy al-Syafi’i.

Buku ini diterjemah oleh Ustaz Pauzi Awang, bekas pensyarah Universiti Malaya. Beliau giat menterjemah buku-buku berbahasa Arab ke Bahasa Melayu. Kini beliau adalah pensyarah sambilan di UM.

SINOPSIS

Buku ini mengandungi perkara-perkara penting yang perlu diketahui oleh kaum wanita. Ia meliputi hukum taharah, haid, nifas, solat, aurat, mengumpat, akhlak terhadap suami serta ibu bapa.

Ia dapat memberi kesedaran kepada wanita-wanita Islam dalam perkara-perkara yang diwajibkan Allah Taala ke atas mereka. Ini merangkumi:
• Bidang ibadah.
• Pergaulan suami isteri.
• Pendidikan anak-anak.
• Pergaulan sesama wanita.
• Pengurusan rumah tangga.
• Perkara-perkara yang diperlukan dalam hal-hal tersebut.

WWBD terbahagi kepada enam bahagian:

1. Muqaddimah – Membicarakan rukun-rukun agama dan makna dua kalimah syahadah.
2. Bab 1 – Hukum bersuci dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
3. Bab 2 – Haid dan nifas serta perkara-perkara berkaitan dengannya.
4. Bab 3 – Solat: Rukun-rukun, syarat-syarat dan perkara-perkara yang berhubung dengannya.
5. Bab 4 – Hak ibu bapa, hak suami, kecaman pendedahan aurat.
6. Penutup – Gesaan bersikap zuhud terhadap dunia, galakan terhadap akhirat, amaran tentang mengumpat, mengacum dan sebagainya.

Buku ini bukan sahaja perlu dibaca oleh kaum wanita, bahkan juga lelaki. Seorang bapa atau suami wajib mengajarkan perkara-perkara yang tersebut di atas dengan sempurna kepada anak perempuan dan isteri masing-masing andainya mereka tidak dapat mempelajarinya sendiri dengan sewajarnya.

Justeru, diharapkan buku ini dapat membantu para suami atau bapa dalam bimbing ahli keluarganya.

Fanzuru: Maka Lihatlah....


Judul: FANZURU
Kategori: Tarbiah Rohani
Terbitan: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
ISBN: 978-983-097-265-7
Tebal: 314
Harga: RM24.00

Penulis muda, Hilal Asyraf kembali dengan buku motivasinya yang ketiga Fanzuru dalam siri Langit Ilahi.

Fanzuru yang membawa erti ‘maka lihatlah’ menghimpunkan sebanyak 60 tazkirah yang mendidik jiwa. Tazkirah-tazkirah yang termuat di dalam buku ini mengajak pembaca untuk melihat dan memerhati dengan teliti dengan mata hati akan pengajaran yang ada di sekeliling kehidupan kita.

Banyak teladan dapat dikutip daripada manusia-manusia yang kita temui dan bergaul dengannya. Inilah pengajaran dan pengalaman yang dikongsikan penulis hasil daripada pemerhatian dan pergaulannya.

Dengan gaya bahasa yang santai, Fanzuru dapat memberi inspirasi kepada pembaca yang mahu dan sedang berusaha memperbaiki diri untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.


Sedikit sedutan daripada Fanzuru

Sedutan 1

Saya berhajat hendak meletakkan jawatan saya sebagai pengawas sekolah ketika itu. Akhirnya, saya bertemu dengan guru kaunseling MATRI bernama Ustaz Syahid.
“Ente hendak berhenti? Ente tahu tak, manusia yang sering berenang melawan ombak, otot tangannya semakin lama semakin kuat?”
Ketika itu, saya bagai nampak celahan sinar yang menyenangkan.
Solusi yang sebenarnya bukanlah dengan kita melarikan diri daripada masalah, sebaliknya kita berusaha menyelesaikannya.


Sedutan 2
Suatu hari, Dr ‘Ala Hilat ada bercerita berkenaan Kibutsats. Pertama kali mendengarnya, membuatkan saya tertarik untuk mendengar apa yang hendak beliau ceritakan.
Beliau berkata: “Kibutsats adalah salah satu sistem tarbiyah Israel, yang hakikatnya perlu kita perhatikan.”
Kibutsats adalah bandar-bandar yang dibangunkan di sekitar sempadan Israel. Terdapat banyak kibutsats. Kibutsats akan dibangunkan apabila cukup 100 orang lelaki, yang semuanya adalah tentera, bersama keluarga mereka. Mereka akan membina perkampungan di sempadan Israel.
Di sini saya kongsikan apa yang saya dengar berkenaan kibutsats.
Kibutsats hakikatnya adalah satu sistem pembinaan masyarakat yang sangat sistematik. Semua orang di dalam kibutsats terikat dengan peraturan yang agak ketat. Tetapi semuanya hidup mentaati peraturan itu.
Mereka mempunyai jadual harian. Di dalam kibutsats, terdapat dewan makan yang sangat besar. Semua keluarga di dalam kibutsats tidak akan makan di rumah mereka, tetapi makan bersama di dalam dewan besar itu. Perempuan-perempuan akan memasak bersama dan semua lelaki akan makan bersama.
Ada waktu untuk makan, ada waktu pula untuk bekerja. Semua orang akan keluar bekerja yang mana, tempat-tempat bekerja mereka juga adalah milik mereka. Contohnya ladang, itu hakikatnya adalah ladang mereka. Kilang yang ada, mereka juga yang bina. Mereka bekerja menjalankan apa yang ada dan sedikit demi sedikit meningkatkan semuanya.
Kibutsats tidak terhenti dengan kehidupan makan dan bekerja sahaja. Terdapat juga jadual riadhah dan latihan ketenteraan bagi semua. Sebaik sahaja kerja tamat, mereka akan bersama menjalani latihan ketenteraan. Semua turut terlibat. Baik anak kecil mahupun yang tua. Terbahagi kepada peringkat masing-masing.
Di dalam kibutsats ada nurseri dan sekolah. Semua anak-anak kibutsats akan dihantar ke nurseri dan sekolah di dalam kibutsats itu juga. Mereka tidak akan dihantar keluar. Guru-guru di dalam nurseri dan sekolah itu juga adalah dari komuniti kibutsats.
Sistem pendidikan kibutsats amat unik. Mereka mempunyai silibus tersendiri, disusun dan direka untuk memenuhi hajat mereka yang ingin menawan dunia. Mereka tidak memandang pelajaran mereka sebagai wadah untuk anak-anak mendapat sijil, atau untuk kerajaan mendapat untung, atau untuk pejabat-pejabat mendapat pekerja.
Mereka menggunakan sistem pendidikan mereka untuk membina ideologi dan membentuk pemikiran anak-anak mereka.
Saya berikan satu contoh mudah. Mata pelajaran Matematik.
Di Malaysia, silibus kita biasanya hanya melibatkan kenderaan, buah-buahan dan makanan. Contohnya:
Ahmad ada 10 biji epal. Ahmad ada empat orang kawan. Semuanya mahu makan epal. Maka Ahmad membahagikan 10 biji epal tadi kepada dirinya dan empat orang kawan secara sama rata. Maka berapa biji epalkah yang akan dapat dimakan oleh setiap seorang termasuk Ahmad?
Itu contoh soalan matematik di Malaysia.
Di Kibutsats Israel, mereka belajar matematik juga. Tetapi isi matematik mereka membawa kepada apa yang mereka mahu. Contohnya:
Yyvon mengetuai satu peperangan terhadap 10 daerah orang arab. Yyvon mengetuai lima platun tentera termasuk platunnya sendiri. Maka, Yyvon membahagikan serangannya terhadap 10 daerah orang arab tadi kepada semua platunnya secara sama rata. Maka, berapa daerah orang arabkah yang perlu dimusnahkan oleh semua platun termasuk platun Yyvon?
Itu contoh pengajian di kibutsats. Lihatlah bagaimana mereka membangunkan pemikiran pemuda-pemuda mereka. Dan silibus sebegini, digunakan sedari nurseri lagi. Ini dikuatkan lagi dengan latihan ketenteraan yang wujud di dalam kibutsats sehari-hari.

Novel awal remaja: Ops Menjejak Pencuri


Judul novel : ADIB & ADIBAH PENYIASAT CILIK DALAM EPISOD OPS MENJEJAK PENCURI
Penulis : WAN ZAYUHISYAM WAN YUSOFF (ZAYU HISHAM)
KOD: GB0098
ISBN: 978-983-097-271-8
HARGA: RM 12.00
M/S: 141



SINOPSIS :
Kes kehilangan binatang ternakan di Kampung Buloh semakin menjadi-jadi. Terbaru, kehilangan kambing Nenek Zaharah menggemparkan penduduk kampung. Di saat itu muncul Adib dan Adibah, dua penyiasat cilik yang kebetulan bercuti di rumah nenek mereka.

Bantuan sepupu-sepupu kesayangan mereka, Zali dan Ikram amat dihargai untuk membantu penyiasatan. Jetli pula hadir sebagai pelengkap geng penyiasat cilik yang bermentorkan Tuan Daniel ini.

Sementara itu, Rafiq dan rakan-rakannya bersetuju dengan cabaran Adib untuk berlawan sepak takraw lantaran Zali yang menolak ajakan Rafiq untuk menyertai pasukannya. Misi menyiasat belum selesai, datang pula misi baru untuk diuruskan. Dapatkah Adib, Adibah dan rakan-rakannya menyelesaikan misteri kehilangan binatang ternakan di Kampung Buloh? Bagaimana pula dengan perlawanan takraw dengan pasukan Rafiq yang merupakan pemain wakil daerah itu? Segalanya terjawab di episod kali ini, OPS MENJEJAK PENCURI!

Biodata Zayu Hisham: Zayu Hisham atau nama sebenarnya Wan Zayuhisham Wan Yusoff ialah guru di Sek. Keb. Taman Medan, Petaling Jaya. Beliau mula meneroka dunia kanak-kanak melalui kisah mencuit hati dalam novel sulungnya, Impian Juara. Ops Menjejak Pencuri ialah buah tangan beliau untuk peminat-peminat siri penyiasatan kanak-kanak.

Indahnya Hidup Tanpa Derita


JUDUL: INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA
PENULIS: NOOR LAILA ANIZA ZAKARIA
TEBAL: 244 M/S
HARGA: RM21/RM23 (S/S)
ISBN: 978-983-097-262-6
KATEGORI: TARBIAH ROHANI (MOTIVASI)


Buku yang wajib baca!


Jika anda menyangka masalah yang anda hadapi sangat berat, maka bacalah buku ini. Anda akan dapati, masalah anda tidaklah sebesar mana berbanding kisah-kisah benar yang dimuatkan di dalam buku ini.

Buku ini menghimpunkan 40 kisah masalah rumah tangga. Sebahagiannya adalah kisah ekstrem yang tidak pernah terlintas di fikiran kita. Namun itulah hakikatnya, ia benar-benar berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Kisah-kisah rumah tangga yang meruntun hati ini turut disertakan dengan tip-tip berguna daripada penulis sebagai jalan keluar daripada masalah yang dihadapi. Sesungguhnya tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan di dunia ini. Pokok pangkalnya ialah pada diri sendiri. Selagi ada iman, selagi itu ada penyelesaiannya.

Barangkali ada kisah yang mirip atau menyerupai masalah anda, maka bacalah ia dan dapatkan tip-tip yang diutarakan. Hidup pasti indah apabila derita berjaya diatasi!


Petikan 1
Baru sahaja habis memberi ceramah di sebuah agensi kerajaan di Putrajaya, seorang wanita dalam lingkungan umur 40-an menanti saya di muka pintu.
“Ada apa-apa yang puan hendak bertanya?” Saya memulakan bicara.
“Tidak apalah. Biar yang lain bertanya dulu, saya tunggu. Di sini keadaannya tertutup sedikit,” perlahan wanita itu menjawab.
... Di wajahnya ada gari-garis halus sesuai dengan usianya. ...
“Saya tidak tahu hendak mulakan di mana. Tapi, semua orang tidak percaya pada apa yang saya ceritakan.”
Saya angguk.
“Suami saya berzina dengan isteri orang! Perempuan itu sedang mengandung sekarang ini. Tidak tahulah sama ada kandungannya itu anak suami saya atau anak suaminya sendiri. Baju mengandung perempuan itu pun suami saya yang belikan. Guna duit saya! Saya jumpa resit di dalam kereta. Apabila saya tanyakan hal itu padanya, terus saya kena tampar. Semua orang kata saya berbohong. Ahli keluarga sebelah saya dan sebelah suami pun tidak mempercayai cerita saya ini.”

Petikan 2

Wanita itu menelefon saya ketika saya sedang menikmati minum petang ... .
“Puan, bolehkah jika saya berdoa untuk suami saya?” wanita itu bertanya.
“Eh, mengapa pula tidak? Apatah lagi jika seorang isteri mahu mendoakan di suami yang tercinta.” Soalan wanita ini mengundang hairan ke dalam benak saya.
“Bukan itu maksud saya puan. Saya hendak doakan supaya Allah ambil nyawa suami saya. Saya sudah tidak tahan hendak membela dia,” saya terdiam di hujung talian mendengar keluhannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...